BAGAIMANA BERWASIAT SEBENARNYA?

Suatu hari ketika kami adik-beradik pulang ke kampung, arwah ayah telah menyatakan bahawa,“Sekarang ni ayah rasa macam kurang sihatlah. Sebelum jadi apa-apa, ayah nak wasiatkan rumah yang kita duduki ini kepada kamu along (anak sulung), kebun kelapa di Kuala Selangor kepada kamu kakak (anak kedua) dan kereta perodua kancil di depan rumah tu kepada adik (anak bongsu), along nanti jangan lupa juga ya, simpanan ayah yang dalam Tabung Haji tu nanti sedekah sikit ke surau kampung ni.”  Kami semua mengganguk tanda bersetuju dengan kenyataan arwah ayah tersebut. Persoalannya, adakah ini dikatakan sebagai wasiat? Adakah ayah boleh mewasiatkan kepada anak-anak secara begitu (tidak sama rata)? Adakah persetujuan kami anak-anak telah mengikat wasiat tersebut? Bagaimana kalau kami tak ikut wasiat yang dibuat?

Inilah selalunya kekeliruan yang sering berlaku dalam masyarakat. Kekeliruan ini menjadi lebih buruk apabila tidak difahami oleh waris-waris dan dan akhirnya berlaku pergeseran sesama mereka. Pemilik harta pula pada masa yang sama tidak mempunyai kefahaman ilmu membuat perancangan harta dan meninggalkan waris dalam keadaan ‘terpinga-pinga’ dengan status arahan berkaitan harta-hartanya.

Dalam satu keadaan lain pula, masih ramai masyarakat yang menganggap wasiat adalah perkara yang tidak begitu penting. Tidak hairanlah dilaporkan masih ramai orang Islam tidak membuat persiapan menulis wasiat kerana beranggapan urusan harta diletakkan di bawah faraid sahaja. Sedangkan membuat wasiat adalah perkara yang digalakkan dalam Islam. Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya.” (Riwayat al-Bukhari).

Penulisan wasiat adalah digalakkan kerana ia merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang telah dikumpul semasa hidup. Perwarisan harta yang dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga yang tersayang selepas kematian.

Sebagaimana akad-akad lain, wasiat mempunyai ciri-ciri tersendiri yang perlu diketahui oleh pemilik harta dan waris-waris seperti berikut:

1) Wasiat ialah Akad yang Berkuatkuasa Selepas Kematian Pewasiat

Wasiat adalah merupakan satu bentuk akad atau kontrak. Ia dikira sah dengan hanya pewasiat menyatakan hasratnya untuk mewasiatkan sesuatu kepada benefisiari tanpa mensyaratkan benefisiari menyatakan penerimaan terhadap wasiat tersebut semasa hayat pewasiat. Keperluan menyempurnakan akad oleh pewasiat dan benefisiari dan juga masa berkuatkuasanya akad inilah yang membezakan antara wasiat dan hibah. Pewasiat juga boleh membatalkan wasiatnya selama mana dia masih hidup.

Sesuatu wasiat tidak akan mengikat untuk berkuatkuasa (binding) melainkan selepas kematian pewasiat. Dengan kata lain, pindah milik harta wasiat kepada orang yang diwasiatkan berkuatkuasa selepas kematian pewasiat dan bukannya dengan pesetujuan terhadap wasiat itu ketika pewasiat masih hidup.

Wasiat berbeza dengan hibah kerana hibah secara umumnya (tetakluk kepada perbezaan pendapat fuqaha) merupakan akad yang tidak boleh dibatalkan dan kesannya tidak boleh ditangguhkan selepas kematian penghibah. Maka, jika penghibah mensyaratkan bahawa penerima hibah hanya memiliki harta yang dihibah selepas kematiannya, ia sebenarnya adalah sah sebagai wasiat dan tertakluk kepada hukum-hakam wasiat, tidak sebagai hibah.

Ciri kuat kuasa wasiat selepas kematian pewasiat ini juga membezakannya dengan wakaf kerana wakaf berkuatkuasa semasa hayat pewakaf. Namun, berbeza dengan hibah, wakaf boleh dibuat dalam bentuk wasiat. Jika wakaf dibuat dalam bentuk wasiat, maka wakaf tersebut tertakluk kepada syarat had maksimum satu pertiga harta pewasiat.

2) Wasiat adalah Suatu Tasarruf untuk Memindahmilikkan Harta Pewasiat kepada Benefisiari Wasiat

Semasa membuat wasiat, pewasiat ingin melepaskan haknya ke atas hartanya untuk dipindah milik kepada benefisiari. Bagi memastikan pindah milik adalah sah di sisi syarak, harta tersebut mestilah dimiliki sepenuhnya oleh pewasiat. Ciri ini, sungguhpun sama dengan hibah tetapi berbeza dengan akad tabarru’ yang lain seperti pinjaman, simpanan (wadiah) dan janji untuk melakukan sesuatu tindakan atau tidak melakukan sesuatu tindakan. Akad yang disebutkan ini walaupun berbentuk tabarru’, namun ia tidak boleh dikatakan sebagai wasiat kerana tidak bermaksud transaksi tasarruf terhadap sesuatu harta.

3) Wasiat ialah Akad Tabarru’ yang Tidak Memerlukan Balasan

Wasiat merupakan satu tindakan memberi milik harta pusaka secara percuma tanpa mensyaratkan sebarang pertukaran. Ciri ini sama sahaja dengan akad tabarru’ yang lain seperti hibah dan wakaf, cuma yang membezakannya ialah masa kuat kuasa akadnya sahaja.

4) Benefisiari Wasiat Terhad kepada Bukan Waris

Pewasiat boleh mendedikasikan hartanya secara wasiat hanya kepada bukan waris yang berhak menerima harta pusaka selepas kematiannya. Ciri ini berbeza dengan akad tabarru’ lain seperti hibah, sedekah, wakaf dan pinjaman yang mana sesiapa sahaja boleh menjadi benefisiari sama ada waris atau bukan waris. Malah ciri inilah salah satu daripada ciri utama yang membezakan wasiat di bawah undang-undang Islam dengan wasiat di bawah undang-undang sivil. Namun demikian, jika sesuatu wasiat itu dibuat kepada waris, ia adalah tidak berkuatkuasa melainkan jika dipersetujui oleh waris-waris yang lain.

5) Harta yang Diwasiatkan Dihadkan Sehingga Sepertiga Harta Pusaka Pewasiat

Orang Islam dibenarkan berwasiat dengan kadar maksimum sepertiga harta pusaka mereka. Hal ini berbeza dengan kadar harta yang boleh dihibahkan yang mana kadar maksimumnya tidak ditetapkan sungguhpun ada sebilangan kecil fuqaha yang berpendapat bahawa kadar hibah adalah sepertiga harta sepertimana wasiat. Penetapan kadar sepertiga untuk wasiat ini adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan waris yang berhak ke atas harta pusaka pewasiat. Tetapi, jika sesuatu wasiat dibuat pada kadar melebihi daripada satu pertiga (1/3) harta, ia adalah tidak berkuatkuasa melainkan jika dipersetujui oleh waris-waris yang lain.

Wallahu a’lam.