KAEDAH BERWASIAT

Wasiat merupakan dokumen penyelesaian pusaka berbentuk arahan kepada Wasi untuk menyempurnakan segala hasrat pewasiat termasuklah melaksanakan segala strategi perancangan dan pengagihan harta selepas kematian.

Ia mempunyai sekatan tertentu iaitu wasiat kepada bukan waris dan waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka melalui faraid. Hanya satu pertiga (1/3) daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan boleh diwasiatkan. Manakala dua pertiga (2/3) daripada harta pewasiat adalah merupakan hak waris menurut hukum faraid. Hadis daripada Abu Umamah Al-Bahili r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberikan hak kepada mereka yang berhak, maka tiada wasiat kepada waris.” (Riwayat At-Tirmizi)

Pewasiat tidak boleh mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga (1/3) sama ada kepada waris atau bukan waris kecuali waris bersetuju dengan pembahagian tersebut selepas kematian pewasiat.

Pewasiat juga tidak boleh mewasiatkan hartanya kepada waris yang layak menerima faraid kecuali dipersetujui oleh waris-waris yang lain selepas kematian pewasiat. Hadis daripada Abdullah bin Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.” (Riwayat Abu Daud)