SUDAHKAH ANDA MENULIS WASIAT?

Ramai dalam kalangan anda tentu menganggap menulis wasiat adalah perkara yang tidak begitu penting dalam menguruskan perancangan harta di masa hadapan. Maka, tidak hairanlah dilaporkan ramai orang Islam tidak membuat persiapan menulis wasiat kerana beranggapan urusan harta diletakkan di bawah faraid sahaja.

Penulisan wasiat seharusnya perlu dilakukan mulai dari sekarang dan semasa tubuh anda masih sihat. Jangan mengambil sikap tunggu dan lihat atau tangguh untuk beberapa waktu. Ia kelak boleh merugikan anda sendiri.

Sebahagian daripada anda sering mendakwa tidak mempunyai harta yang hendak diwasiatkan. Harta yang ada berupa sebuah kereta dan sebuah rumah dianggap hanya hal yang kecil dan remeh untuk difikirkan.

Sebagai seorang yang bertanggungjawab dan selagi anda mempunyai hutang, anda mestilah menyediakan satu penulisan berbentuk pesanan untuk pembahagian harta dan waris anda menjelaskan hutang yang bakal ditinggalkan.

Tetapi kecenderungan masyarakat kita kini yang sibuk bekerja mencari rezeki siang dan malam untuk ahli keluarga menyebabkan anda terlupa untuk membuat pesanan berkaitan harta anda. Kesannya, waris-waris yang ditinggalkan tidak mengetahui kedudukan harta pusaka anda. Ia akan menyukarkan waris-waris terutama kalau anda mempunyai hutang, pesanan yang tidak dinyatakan secara bertulis dan pelbagai lagi.

Lebih malang lagi, berlaku polemik dan pergeseran di kalangan ahli keluarga kerana tidak memahami kaedah mengurus harta yang sebenar. Ikatan silaturrahim yang terbina selama bertahun-tahun lamanya boleh terlerai oleh sebab perebutan harta di kalangan waris-waris yang ditinggalkan.

Lebih buruk dari itu, hubungan ibu bapa dan anak-anak terputus begitu sahaja kerana sikap tamak haloba dan cemburu di dalam diri anggota keluarga. Oleh kerana itu, persediaan mengurus harta secara bijaksana perlu dilakukan bagi mengelakkan pergeseran di kalangan ahli keluarga dan kaum kerabat.